Sunday, November 16, 2008

Impak Maksima The Musical

Semalam saya berkesempatan menonton teater muzikal “Impak Maksima” di Istana Budaya bersama seorang rakan. Ini bukanlah pengalaman pertama saya menonton sebuah teater, malah suatu ketika dulu pernah juga melibatkan diri dalam persembahan sedemikian, namun untuk tema yang berunsur ‘muzikal’ yang kini memang diketengahkan oleh artis-artis tempatan dan antarabangsa, inilah kali pertama saya ingin cuba untuk menyokong industri teater tanahair. Mungkin ia tidaklah sehebat “Fame” ataupun “Cats”, namun unsur “drift” yang memang popular masakini menggamit perhatian saya, mungkin juga untuk menyedapkan hati setelah terlepas peluang menonton “teater muzikal P.Ramlee” yang asyik “full house” suatu ketika dulu…

Dengar kata, pentas di Istana Budaya ini merupakan pentas bertaraf “state of the art technology”, antara yang termaju di dunia, jadi saya tidak teragak untuk memilih tempat duduk yang agak rapat dengan pentas, yang berharga RM50. Dan hanya pada hari Sabtu sahaja terdapat “Matinee Show” iaitu persembahan pada pukul 3 petang, yang mana pada hari-hari biasa persembahan hanya pada waktu malam. Hujan turun renyai ketika saya dan rakan sampai ke perkarangan tempat letak kereta, jadi terpaksalah kami berlari-lari anak mencari pintu masuk ke bangunan tersebut.

Kami tidak sedar yang kami telah menggunakan laluan “dressing room” sebentar tadi sehingga kami tiba ke lobi utama. Patutlah kami ternampak macam beberapa artis yang berselisih semasa kami cuba meneka pintu mana yang akan membawa kami ke auditorium. Jam 2:45 petang, namun tiada tanda-tanda kami dibenarkan masuk untuk mencari tempat duduk. Suasana makin hingar dengan ketibaan penonton-penonton lain. Memang tidak dinafikan, persembahan sebegini memang menarik perhatian ramai, lagi pun cuti sekolah telah bermula.

Agak menghairankan dari segi pengurusan yg saya rasa agak tidak bersungguh untuk menaikkan taraf teater tanahair. Penonton seolah bebas untuk berpakaian kasual, macam nak pergi konsert, ada yang berselipar, berseluar pendek, malah ada juga kanak-kanak semuda 3 tahun dbawa bersama! Pada pendapat saya, industri dan persembahan ini harus dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Ketika saya menonton persembahan orkestra di Dewan Filharmonik di KLCC tahun lalu, pelbagai syarat ketat dikenakan kepada semua pengunjung, terutama sekali dari segi pakaian, umur minima dan ketepatan masa. Malah kita lihat di arena anatrabangsa, golongan peminat seni akan mengenakan pakaian-pakaian formal ketika mengahadiri persembahan-persembahan seumpama ini. Apalah salahnya kita naikkan martabat industri teater kita sendiri, cerita kita sendiri, pentas kita sendiri, pelakon kita sendiri, idealogi kita sendiri, budaya peninggalan kita sendiri, persembahan-persembahan kita sendiri dengan kita sendiri datang berpakaian kemas serta formal? Mungkin cukup dengan seluar panjang, t-shirt berkolar, berKASUT, malah kalau ada yang ingin berbaju melayu, berbaju kurung, lebih baik!

Akhirnya selepas jam 3:15 petang baru kami dibenarkan masuk secara berperingkat. Rupanya, auditorium tidaklah sepenuh seperti di lobi utama tadi. Tiba-tiba saya dan rakan ditawarkan untuk berpindah ke tempat duduk yang lebih baik, betul-betul dihadapan pentas, 4 baris dari depan. Wah, ini seat bernilai RM150, tak terjual ke? Atau ini taktik pengurusan bagi menampakkan suasana “full house”? Sudah tentu saya tidak akan merungut tentang keuntungan kami mendapat “best seat in the house” ini, namun jauh di benak hati saya, bagaimana perasaan keluarga atau individu yang berhabis RM150 untuk satu tiket, malah pada akhirnya tempat khas itu bebas diduduki dan dipenuhi oleh pemegang-pemegang tiket RM30? Maknanya tiada “exclusivity” lah agaknya. Anda sanggup?

Tentang persembahan selama lebih kurang 2 jam itu, saya akui ia memang agak menarik. Elemen cinta, perjumpaan, konflik, perpisahan, setiakawan dan diselitkan dengan lawak bersahaja ini memang lain daripada yang lain. Yang saya ingin puji, teknologi pentas yang automatic menukar “scene”, “prop” dan pencahayaan yang begitu hidup sekali! Vokal kesemua artis memang boleh dibanggakan, tidak sangka suara “D.K” dan “Imran” begitu mantap mempersembahkan dialog-dialog mereka dalam bentuk nyanyian, dalam semua aksi dan “mood” yang berbeza. Aksi drift diatas pentas memang tidak dipertikaikan, memang “original”. 3 kali aksi merbahaya itu dilakukan, dibelakang dan ditengah pentas, inilah pengalaman paling hampir saya melihatkan kemahiran tersebut. Memang puas!

Pemilihan watak-watak memang baik, “choreography” yang boleh diperbaiki namun masih baik, Soundtrack yang amat menarik, yg saya pasti akan cuba dapatkan. Tetapi jalan cerita yang boleh diagak. Hero mati, heroin menangis, kawan-kawan menyesal. Saya bukanlah pengkritik dan bukan berada di tahap untuk memberi komen, tapi pandangan saya, pengakhiran cerita patut disudahi dengan kesemua mereka dia bawa ke muka pengadilan, kerana harus ditekankan, budaya lumba haram, bergaduh, rempit menyalahi undang-undang, dan bukannya sesuatu yang bebas dilakukan kerana “passion” atau demi cinta. Saya mungkin boleh berfikir, tapi mereka benarkan kanak-kanak bebas menonton tetaer ini. Yang mereka tahu, kereta tu cantik dan “best”... \';'/